Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menyiasat secara terperinci isu perkahwinan Illi Najwa Saddique dengan kapten hoki India Manpreet Singh Pawar yang menimbulkan kontroversi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, bukti sahih dan lengkap termasuk berhubung dakwaan pernikahan wanita itu sudah dilangsungkan di negara ini sedang dikumpulkan JAINJ.

"JAINJ sedang menyiasat isu perkahwinan wanita berkenaan dengan teliti termasuk menunggu laporan dan pengesahan daripada Kementerian Luar.

"Semua siasatan dibuat dengan penuh teliti dan berhati-hati berikutan ia adalah isu besar yang membabitkan akidah apatah lagi berkait agama kaum lain.

"Selepas semua laporan sudah diperoleh, JAINJ akan menyembah maklum semua maklumat berkenaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

"Apabila Sultan Johor sudah memperkenankan laporan penuh berkenaan isu itu, baharulah kenyataan media akan dibuat sebagai penjelasan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan di Pusat Islam Iskandar, hari ini.

Ditanya sama ada JAINJ ada menghubungi keluarga Illi Najwa bagi mendapatkan penjelasan, Tosrin berkata, pihaknya masih belum memanggil keluarga wanita berkenaan.

"Kita akan panggil mereka dalam masa terdekat apabila tiba masanya nanti," katanya.

Dalam pada itu, Tosrin menyeru umat Islam supaya bersabar dan jangan timbulkan tafsiran negatif berhubung isu terbabit.

"Biar JAINJ siasat secara menyeluruh isu ini sebelum apa-apa kesimpulan dibuat," katanya.

Tosrin Jarvanthi (tengah) menerima mock check Zakat Peniagaan daripada Pengerusi Pharma Niaga Sdn. Bhd. Datuk Dr Hafshah Hashim (kiri) pada Majlis Penyerahan Zakat Peniagaan di  Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO ZAIN AHMED
Tosrin Jarvanthi (tengah) menerima mock check Zakat Peniagaan daripada Pengerusi Pharma Niaga Sdn. Bhd. Datuk Dr Hafshah Hashim (kiri) pada Majlis Penyerahan Zakat Peniagaan di Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 5:05 PM