Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Tidak ubah seperti penghambaan moden. Itu reaksi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam operasi penempatan pekerja warga asing di kilang di Simpang Balak, di sini.

Kilang yang menggajikan 759 warga asing majoritinya dari Nepal serta Bangladesh itu hanya menjadikan dua kontena dan menggunakan kotak untuk dijadikan bilik penempatan pekerja.

Kontena usang berkenaan dijadikan tempat tinggal pekerja asing sejak beberapa tahun lalu dalam keadaan daif dan kotor.

Malah suasana dalam kontena berkenaan tidak sesuai kerana hanya mampu menampung kurang dalam 100 pekerja namun ia dihuni lebih 400 pekerja.

Saravanan berkata, operasi diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) itu mengesan ketidakpatuhan majikan terhadap standard penempatan pekerja yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Saya lihat keadaan tempat tinggal begitu daif dan tidak boleh dibayangkan dalam masih ada tempat tinggal seperti zaman penjajahan British.

"Ini memberikan satu gambaran yang negatif terhadap Malaysia jika majikan di negara ini terus mengabaikan tempat tinggal walaupun untuk pekerja asing.

"Mereka juga perlu diberikan tempat tinggal yang sempurna dan keadaan tempat tinggal ini merisikokan pekerja khususnya ketika kebakaran selain boleh menyebabkan penularan Covid-19," katanya ketika ditemui sebaik tamat operasi.

Operasi bersepadu hari ini juga disertai Jabatan Kesihatan Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dibuat hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lalu.

Katanya, lebih mengecewakan syarikat itu yang sudah pasti mencatat keuntungan berlipat ganda masih tidak menaik taraf penempatan pekerja mereka.

ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja melakukan siasatan terhadap pekerja asing pada operasi penempatan pekerja warga asing di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Simpang Balak, Kajang. FOTO Aswadi Alias
ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja melakukan siasatan terhadap pekerja asing pada operasi penempatan pekerja warga asing di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Simpang Balak, Kajang. FOTO Aswadi Alias

Saravanan berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memastikan pihak berkuasa tempatan meningkatkan pemantauan perumahan pekerja di seluruh negara.

"Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan kebenaran menggaji pekerja asing hanya akan diberikan sekiranya aspek penempatan mematuhi standard yang ditetapkan.

"Sumber manusia adalah aset terpenting syarikat dan pengabaian seperti yang dilihat hari ini tidak sepatutnya berlaku.

"Syarikat ini akan disiasat kerana tidak mematuhi Akta 446 Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2019)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 12:40 PM