GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Lebih dua juta rakyat Sabah menerima bantuan Covid-19 yang disalurkan kerajaan Pusat dan negeri sejak penularan pandemik itu sehingga ke hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata, sehingga kini kerajaan negeri menyalurkan tujuh jenis bantuan, manakala lima jenis bantuan oleh kerajaan pusat.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tidak akan tersasar atau terkecuali daripada menerima bantuan yang sepatutnya.

"Sehingga kini, seramai 2,144,408 orang yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di Sabah sudah menerima bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Bantuan kerajaan Persekutuan meliputi Bantuan Sara Hidup (BSH2020), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Geran Khas Prihatin untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Program Subsidi Upah untuk majikan di Sabah dan Elaun Khas Covid-19 Frontliners," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah menjawab soalan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai jumlah penerima bantuan Covid-19 di Sabah dan jaminan kerajaan negeri supaya tiada yang tersasar.

Bagi bantuan kerajaan negeri, katanya yang pertama ialah pengagihan bakul makanan kepada penduduk terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), menjalani kuarantin dan golongan dalam senarai e-Kasih dengan peruntukan disalurkan sebanyak RM39.62 juta sejak Oktober lalu.

"Setakat ini, sebanyak 301,327 bakul makanan sudah diagihkan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM30.16 juta. Sehingga kini 96 peratus bakul makanan sudah diagihkan kepada golongan sasar.

Pada masa yang sama, katanya 336,428 orang menerima Bantuan Kewangan Sekali Bayar sebanyak RM300 seorang dengan perbelanjaan berjumlah RM100.92 juta.

Sementara itu, 2,574 pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah agama dan tahfiz turut menerima bantuan kerajaan negeri berjumlah RM951,917 daripada keseluruhan peruntukan RM1 juta.

"Kerajaan negeri juga memberi pengecualian sewa gerai penjaja bagi tempoh tiga bulan mulai Oktober hingga Disember 2020, Fi Lesen Permit bagi penjaja untuk tahun 2021 dan bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk Oktober hingga Disember 2020 yang memanfaatkan seramai 20,588 orang penjaja dan seramai 20,268 penyewa PPR.

"Kerajaan negeri turut memberikan bantuan kewangan sekali bayar tambahan sebanyak RM1,000 seorang kepada usahawan mikro Sabah. Setakat 19 Disember, sebanyak 1,369 usahawan membabitkan perbelanjaan RM1.37 juta menerima bantuan ini.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyalurkan bantuan kewangan sekali bayar tambahan RM4,000 kepada 500 syarikat pelancongan dan pengembara yang aktif di Sabah membabitkan perbelanjaan RM2 juta dengan 100 penerima setakat 19 Disember ini," katanya.

Akhir sekali katanya, kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan sekali bayar tambahan sebanyak RM300 seorang kepada 401 veteran tentera dengan perbelanjaan RM120,300 yang akan disalurkan sebelum akhir bulan ini," katanya.

Dalam tempoh Oktober sehingga 19 Disember ini, RM140.32 juta daripada RM160 juta peruntukan disediakan oleh kerajaan negeri sudah dibelanjakan.

Katanya, peruntukan kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM50 juta pula, sebanyak RM14.04 juta sudah dibelanjakan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 11:30 AM