GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori.
GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada wabak penyakit berjangkit berlaku di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa negeri dilanda banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai banjir yang melanda di Terengganu, Kelantan dan Pahang sehingga 2 petang tadi.

"Seramai 8,244 mangsa dan 71 PPS dibuka dan salah satu fasiliti kesihatan iaitu Klinik Kesihatan (KK) Rantau Panjang terjejas akibat banjir menyebabkan perkhidmatan berkaitan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.

"Sebanyak 49 pasukan petugas perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) digerakkan ke PPS yang dibuka bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit dijalankan secara berterusan. Hasil pemantauan dilakukan sehingga kini mendapati, tiada wabak penyakit berjangkit berlaku di PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan yang sesak seperti di PPS boleh meningkatkan risiko bagi penularan penyakit terutama dalam situasi negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Justeru itu, katanya, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu oleh semua mangsa banjir di PPS perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua agensi yang terbabit.

"Mangsa-mangsa banjir perlu sentiasa menjaga kesihatan kendiri, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Selain itu, mangsa-mangsa banjir juga perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:28 PM