DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini mencatatkan 1,340 kes menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 93,309 kes dengan jumlah kes aktif 15,563 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes import dilaporkan, manakala 1,337 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 441 kes diikuti Kuala Lumpur (284 kes) dan Sabah (196 kes).

"Sebanyak 134 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes), Kluster Tembok Gajah (56 kes), Kluster Tembok (10kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (2 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 116 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,067 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 77,309 kes atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Empat kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan empat lelaki termasuk seorang bukan warganegara berusia antara 63 hingga 78 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.

"Kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 437 kes atau 0.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:02 PM