Dadah jenis syabu yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di rumah tidak bernombor di Kampung Batu, dekar sini, pada Khamis. FOTO Ihsan ESSCOM
Dadah jenis syabu yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di rumah tidak bernombor di Kampung Batu, dekar sini, pada Khamis. FOTO Ihsan ESSCOM
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Tujuh individu termasuk sepasang suami isteri warga emas masing-masing berumur 80 dan 70 tahun ditahan Khamis lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, pasukan keselamatan turut merampas 139.82 gram syabu susulan serbuan berasingan dia dua rumah tidak bernombor di Kampung Batu, di sini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, serbuan pertama di sebuah rumah didiami lima suspek itu menemukan bungkusan syabu pelbagai saiz seberat 82.78 gram dianggarkan bernilai RM8,000 serta 50 gulungan kecil foil aluminium di lantai rumah berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga suspek lelaki warga asing berumur 16 hingga 30 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan positif dadah jenis Methamphetamine

"Anggota keselamatan turut merampas dua telefon bimbit dan selain wang tunai berjumlah RM3,806 disyaki hasil penjualan syabu serta satu beg tangan kecil yang mengandungi lima bentuk cincin emas dan empat anting-anting," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, pasangan suami isteri warga emas pula ditahan berikutan penemuan beg tangan yang mengandungi sejumlah paket lutsinar berisi syabu seberat 57.04 gram dianggarkan bernilai RM5,000.

Katanya, pihaknya turut merampas 20 gulung foil aluminium, satu unit penimbang digital, pemetik api, gunting besar, telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM3019 dan 300 peso (Filipina) mata wang asing.

"Semua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 10:54 AM