GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Kerja penggantian injap di dua lokasi di daerah ini yang menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 16 jam, siap dilaksanakan pada 8 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, pihaknya sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan air untuk memastikan pengguna menerima bekalan air pada 8.30 malam.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 2 pagi, 17 Disember.

"Pengguna dinasihatkan untuk membuka pili air dan membiarkan air mengalir seketika sehingga air jernih sebelum menggunakannya," katanya menerusi makluman di Facebook, hari ini.

Katanya, pengguna dinasihatkan mendapat maklumat sahih di medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 38 kawasan di wilayah Sabak Bernam mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai 10 pagi, hari ini.

Ia berikutan pelaksanaan kerja penggantian enam unit injap di Jalan Besar Belia, Sungai Panjang dan pemasangan satu injap baharu di Parit 13, Sungai Panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 10:04 PM