KEADAAN asrama pekerja yang dibina secara bertingkat menggunakan tiang besi. FOTO Essa Abu Yamin
KEADAAN asrama pekerja yang dibina secara bertingkat menggunakan tiang besi. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Muar: Kotor, tidak teratur dan sempit. Itu keadaan tempat penginapan pekerja asing di Parit Jawa di sini, yang diperiksa penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hari ini.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKTSM Zaini Yaacob berkata, operasi dilaksanakan di asrama pekerja kilang perabot itu didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

"Hasil pemeriksaan mendapati, banyak kesalahan dilakukan majikan iaitu gagal menyediakan tempat penginapan yang sesuai untuk pekerja.

"Malah ia jelas boleh dilihat apabila dua penghuni dalam sebuah bilik ini terpaksa bersesak dalam ruang yang kecil dan rendah," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke asrama pekerja itu.

Menurut beliau, binaan bertingkat juga tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kami dapati lokasi asrama ini adalah tapak kilang lama dan dihuni sejak 2012. Kami juga mendapati, asrama dihuni 321 pekerja itu tidak mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Selain dijadikan tempat tidur, ada sebahagian pekerja turut memasak menyebabkan wujudnya bau kurang menyenangkan kerana tiada pengudaraan sempurna," katanya.

Tambah beliau, di kawasan tandas, pihak majikan juga gagal menyelenggaranya dengan baik menyebabkan ia kotor dengan beberapa tandas tersumbat selain pintunya rosak.

"Manakala bilik mandi yang disediakan di bahagian luar tidak mempunyai sistem saliran yang baik untuk pengaliran air mandi," katanya.

Operasi bersepadu bersama agensi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MCIP) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKPP) itu turut dihadiri Pengarah JTK negeri Nasir Kassim.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 24D(1), Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.

"Bagi kesalahan penyedia penginapan berpusat, pihak berkaitan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 4:24 PM