DR NOOR Azmi ketika berucap di Majlis menandatangani  Memorandum Persefahaman Pelanjutan Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok “mQuit Ssrvices” Fasa 3 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DR NOOR Azmi ketika berucap di Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pelanjutan Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok “mQuit Ssrvices” Fasa 3 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sebanyak 52,873 perokok mendaftar untuk berhenti merokok sejak program Perkhidmatan Berhenti Merokok 'mQuit Services' dilancarkan antara tahun 2015 sehingga 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 35 peratus berjaya berhenti merokok dan ia adalah kejayaan memberangsangkan hasil kerjasama semua rakan kongsi terbabit.

Katanya, kebolehcapaian perkhidmatan berhenti merokok itu disokong perkhidmatan ditawarkan komuniti farmasi di seluruh negara.

"Sehingga kini terdapat sebanyak 198 buah fasiliti swasta berdaftar di Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok mQuit dan ia dijangka meningkat keupayaan sebanyak 400 kemudahan menjelang 2025," katanya pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pelanjutan Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok "mQuit SERVICES" Fasa 3 di Marina Putrajaya di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bersama KKM itu disertai 13 wakil sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tempoh lima tahun.

Fasa pertama program ini adalah dari tahun 2015 sehingga 2017 diikuti fasa kedua 2017 sehingga 2020 dan fasa ketiga bermula hari ini sehingga 2025.

Noor Azmi berkata, KKM sudah membelanjakan sebanyak RM2 juta pada 2018 untuk kos rawatan ubat 'nicotine replacement therapy' dan 'non-nicotine replacement therapy' bagi merawat 12,640 perokok.

Katanya, pada tahun lalu, KKM membelanjakan sebanyak RM2.8 juta bagi merawat 9,222 perokok di klinik kesihatan seluruh negara.

"Bagi fasa ketiga, KKM akan melaksanakan norma baharu ketika menghadapi wabak Covid-19 kepada penekanan sistem pendigitalan dan konsep 'uberization' bagi mendapatkan rawatan.

"Mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh mendaftar dan mendapatkan khidmat nasihat secara dalam talian dengan melayari sesawang jomquit.com"," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 7:49 PM