Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis menggerakkan usaha bagi memburu pemilik yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut peraturan atau 'fancy,' termasuk pegawai dan anggotanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dari Januari hingga Disember tahun ini, 9,985 saman dikeluarkan terhadap kesalahan menggunakan nombor kenderaan yang tidak mengikut peraturan.

Katanya, antara alasan yang diperolehi mahukan keunikan, gaya, dan lain daripada lain malah tidak mengira siapa termasuk mat rempit dan ahli perniagaan yang mahu tunjuk status mereka menerusi nombor pendaftaran kenderaan.

"Jadi, bermula hari ini hingga 31 Disember, polis akan menjalankan Ops Khas bagi kesalahan lampu isyarat dan nombor pendaftaran kenderaan 'fancy.' Ada segelintir pemilik kenderaan ini mengubah plat kenderaan kerana mahukan kelainan dari segi huruf dan nombor, iaitu dengan cara merapatkan atau menjarakkan maksud tertentu sehingga mengelirukan dan sukar dibaca.

"Kesannya terhadap isu ini, antaranya seperti penguat kuasa laju, langgar lari dan penglibatan dalam kes jenayah yang memerlukan pengecaman pada plat kenderaan, menyebabkan individu ini terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Pemilik kenderaan yang ada nombor fancy tukar cepat sebelum kena saman. Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan pegawai, anggota polis serta agensi penguat kuasa lain.

"Kita akan mulakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dulu. Kita bercakap soal masyarakat tapi ada antara pegawai dan anggota polis yang tidak ikut peraturan," katanya.

AYOB Khan (kiri) menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi selepas sidang media. FOTO Zain Ahmed
AYOB Khan (kiri) menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi selepas sidang media. FOTO Zain Ahmed

Beliau berkata demikian pada sidang media kaunter semakan dan tawaran diskaun saman 50 peratus Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis daerah Johor Bahru Utara (JBU) di sini, hari ini.

Pemilik nombor kenderaan fancy boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (4), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Peraturan 6 (1) LN173/69 dan Seksyen 108 (3) (F) APJ 1987.

Menurut Ayob Khan, pada hari pertama tawaran diskaun saman seluruh Kontinjen Johor, 1,050 individu datang membayar saman 2,300 saman dengan catatan kutipan RM152,720.

Katanya mengikut statistik saman yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga 30 November tahun ini, hanya 27 peratus sahaja yang membayar saman.

"27 peratus ini membabitkan jumlah saman 3.6 juta. Manakala bakinya 73 peratus belum lagi membayar saman membabitkan jumlah 9.6 juta.

"Semua saman yang layak mendapat diskaun kecuali saman berstatus bicara mahkamah, saman kesalahan Op Selamat tahun semasa, saman kemalangan tahun semasa, saman berstatus waran tangkap tahun semasa, saman membabitkan motor dan lori tahun 2018, 2019 dan 2020. Serta saman berstatus NC (Non Compoundable) tahun 2018, 2019 dan 2020.

"Tujuan kaunter tawaran saman ini bagi menggalakkan orang ramai bayar saman, menyelesaikan saman tertunggak, meningkatkan kadar penyelesaian saman dan memahami kekangan kewangan dihadapi orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 3:17 PM