Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Berhad (MAB) kini beroperasi dengan kira-kira 75 peratus pesawatnya tidak dapat diterbangkan akibat sekatan perjalanan menyebabkan kapasiti dan pendapatannya terjejas.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri berkata, kesan Covid-19 terhadap industri penerbangan secara global adalah amat buruk dan MAB tidak terkecuali daripada menerima impak daripada penularan pandemik ini.

"Sebelum pandemik Covid-19 melanda, kedudukan kewangan MAB didapati telah merosot di mana prestasi kewangan Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB) pada 2015 berjumlah RM1.1 bilion, RM0.7 bilion (2016), RM1.2 bilion (2017) dan RM1.3 bilion pada 2018.

"Setakat 31 Ogos lalu, jumlah kecairan yang dimiliki oleh Kumpulan MAGB adalah kira-kira RM366 juta selain kira-kira RM578 juta yang tersedia untuk digunakan daripada dana yang diperuntukkan oleh Khazanah," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenaikemampuan syarikat penerbangan di Malaysia terutamanya Malaysia Airlines (MAB) mampu bertahan dalam krisis ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.

Katanya, bagi mengatasi masalah kewangan MAGB dan MAB kerajaan akan mengadakan rundingan lanjut dengan Khazanah bagi mengenal pasti hala tuju syarikat khususnya dalam memperkukuhkan kedudukan kewangannya dan mengenal pasti penyelesaian strategik yang terbaik bagi kumpulan penerbangan itu.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 12:00 PM