GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Mersing: Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dikaji semula bagi membolehkan peranannya diperluaskan seiring dengan perubahan ekonomi dan teknologi semasa negara.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pelaksanaan dasar itu perlu bagi memastikan peranan RISDA yang ditubuhkan sejak 1972 itu mengambil kira sudut fungsinya dalam membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Katanya, RISDA mempunyai kepakaran dalam pengurusan mahupun pembangunan tanaman getah dan kelapa sawit, termasuk industri sampingan kepada masyarakat luar bandar.

"Kita (kerajaan) mahu simpan bakat luar bandar itu berada di luar bandar. Kita tidak mahu luar bandar ini dihuni oleh orang tua. Perlu ada bakat orang muda di luar bandar. Dengan teknologi mahupun revolusi, ini semua boleh dilakukan, sambil kita sama-sama menjaga kelestarian luar bandar.

"Lembaga RISDA bekerjasama dengan KPLB, duduk bersama, untuk melihat cadangan ini, kita panggil semua stakeholder (pemegang taruh), kita dengar. Kalau sudah siap, kita bawa ke peringkat kementerian, kabinet, kalau ada perubahan kepada akta sedia ada, kita ubahlah, bawa ke Parlimen, perlu bersesuaian dengan pasca Covid-19.

"Kita tidak boleh berterusan seperti ini, ibarat akan mengikat tali, kita tidak akan berfikir di luar kotak. Malah, kalau penstrukturan semula dasar ini dimurnikan dan dikemaskini, lebih ramai mereka yang berada di luar bandar akan dapat manfaatnya," katanya.

ABD Latiff (tengah) mengadakan lawatan sempena program perasmian Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA. FOTO Nurul Amanina Suhaini
ABD Latiff (tengah) mengadakan lawatan sempena program perasmian Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA di Kampung Tanjung Tuan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.

Abd Latiff berkata, perubahan yang dilakukan itu perlu secara menyeluruh, pada masa sama melihat daripada segi sekuriti makanan dan keselamatan makanan, sekali gus meningkatkan impak tinggi ekonomi kepada masyarakat.

"Kita terbelenggu dengan tanaman kontan yang dahulu. Saya bagi contoh kalau kita bolehmaintain (mengekalkan) suhu 24 hingga 28 darjah, kita boleh menghasilkan vanila... yang kedua termahal. Jadi kalau kita ada teknologi itu di kampung, kita boleh explore (meneroka) supaya boleh tingkatkan impak tinggi ekonomi kepada masyarakat kampung. Masyarakat kampung perlu dijaga oleh kerajaan," katanya.

Pada program berkenaan, RISDA dengan kerjasama Yayasan RISDA turut menyampaikan zakat berjumlah RM66,400 kepada 60 penerima termasuk masyarakat Orang Asli dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf, selain dua madsarah tahfiz serta sebuah masjid di Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 3:18 PM