GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Teruja memiliki permainan video Playstation 5 (PS5) yang baharu dilancarkan dengan harga jauh lebih murah daripada pasaran menyebabkan wang simpanan berjumlah RM4,870 milik seorang pelajar sebuah universiti swasta di sini lebur akibat ditipu sindiket belian barang dalam talian tidak wujud.

Pelajar lelaki berusia 18 tahun itu melayari aplikasi beli-belah dalam talian kelmarin sebelum tertarik dengan iklan menjual konsol popular itu lalu menghubungi penjual melalui WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa tertarik untuk membeli alat permainan itu apatah lagi harganya jauh lebih murah berbanding pasaran semasa.

"Penjual itu kemudian mengirimkan beberapa gambar PS5 itu untuk menarik perhatian mangsa hingga membuatkan mangsa teruja dan mahu memiliki alat permainan terbabit.

"Mangsa dijanjikan menerima PS5 itu dalam masa sehari dan tanpa berfikir panjang dia membuat bayaran sebanyak RM3,351 ke dalam akaun suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu mendakwa pihak perkhidmatan penghantar barangan keesokan harinya dengan memaklumkan terdapat bungkusan untuknya dari luar negara.

"Bagaimanapun, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM1,519 bagi melepaskan barangan berkenaan lalu dia menurutinya hingga wang simpanannya habis.

"Mangsa akhirnya sedar ditipu selepas dia diminta membuat lagi beberapa bayaran dan secara keseluruhannya mengalami kerugian sebanyak RM4,870," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, seorang doktor wanita berusia 36 tahun turut menjadi mangsa penipuan beli barangan dalam talian tidak wujud sehingga mengalami kerugian RM10,800.

"Doktor itu tertarik untuk membeli tiga beg tangan berjenama yang harganya jauh lebih murah dan kualiti barang yang menarik sebelum menghubungi penjualnya.

"Mangsa melakukan dua transaksi dan sedar ditipu selepas tidak menerima barangan seperti yang dijanjikan," katanya.

Kedua-dua mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 1:55 PM