SENJATA yang digunakan suspek. (Gambar kanan) Anggota polis luka di siku akibat dibaling pinggan kaca. FOTO ihsan polis
SENJATA yang digunakan suspek. (Gambar kanan) Anggota polis luka di siku akibat dibaling pinggan kaca. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengamuk dan menyerang pihak berkuasa yang cuba menenangkannya di kediamannya di Damansara Damai, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dua anggota polis ke rumah itu jam 2 pagi selepas menerima aduan terdapat orang mengamuk.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu, suspek berusia 48 tahun membaling pinggan kaca ke arah polis hingga menyebabkan salah seorangnya cedera di siku.

"Suspek turut memegang pisau pemotong daging dan tukul besi serta cuba menyerang polis sambil mengeluar kata kesat berbaur penghinaan kepada polis.

"Akibatnya berlaku pergelutan dan suspek yang bertindak agresif kemudian berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah dan dadah.

"Kedua-dua anggota polis mengalami cedera ringan di siku dan lebam di badan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 5:22 PM