Bot pukat tunda kelas C yang ditahan Maritim Malaysia bersama lima nelayan asing kerana melanggar syarat dah lesen menangkap ikan. FOTO /IHSAN Maritim Malaysia
Bot pukat tunda kelas C yang ditahan Maritim Malaysia bersama lima nelayan asing kerana melanggar syarat dah lesen menangkap ikan. FOTO /IHSAN Maritim Malaysia
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan Thailand dan Kemboja termasuk tekong yang menangkap ikan dengan pukat tunda di perairan negara, kira-kira tiga batu nautika dari muara Kuala Kedah, semalam.

Mereka berusia 35 hingga 51 tahun dikesan dalam rondaan Op Benteng Laut pada jam 4.20 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, kesemua nelayan asing itu berusia 35 hingga 51 tahun, menggunakan bot nelayan tempatan kelas C.

"Pemeriksaan mendapati bot itu melanggar syarat sah lesen mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan nelayan asing terbabit melanggar Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Mereka serta bot dan hasil tangkapan dianggarkan seberat dua tan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, kesemua tahanan itu terlebih dahulu melakukan ujian saringan Covid-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau mengingatkan pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan termasuk menggunakan mata pukat yang dilarang.

"Nelayan berkenaan pula mungkin terkandas (tinggal lebih masa) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimanapun mereka sepatutnya hadir ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk cop pasport," katanya.

Menurutnya, APMM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang dan mengalukan aduan daripada pelbagai pihak yang boleh disalurkan ke talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 3:03 PM