MANGSA maut selepas motosikal berkuasa tinggi merempuh kereta. FOTO ihsan pembaca
MANGSA maut selepas motosikal berkuasa tinggi merempuh kereta. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Latihan Perkayuan Terengganu (TTITC) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di Rhu 10, Jalan Pantai Penarik ke Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian 11.35 pagi itu, mangsa Mejar (K) Datuk Ajlan Mohamad, 61, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Iswara dari arah Penarik hendak membelok ke simpang kanan Kampung Pandan Jaya.

"Tiba-tiba mangsa yang menunggang Harley Davidson datang dari arah Kampung Fikri melanggar belakang kereta dan meninggal di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Taneshwaran Seritharan," katanya.

Sementara itu, anak arwah, Aiman Ajlan berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya di rumah mereka pada malam tadi.

"Kebetulan malam tadi saya baru pulang ke kampung untuk bercuti kerana bekerja di Kuala Lumpur.

"Ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia sangat meminati dunia permotoran sejak berpuluh tahun lalu," katanya.

Aiman berkata, arwah bapanya yang juga bapa kepada lima anak itu pergi ke Setiu awal pagi hari ini untuk berjumpa rakannya dan dalam perjalanan pulang ketika kejadian.

"Kami mendapat berita kemalangan setelah dimaklumkan seorang rakannya yang berada di tempat kejadian.

"Arwah dijangka tiba di Tok Jembal, Kuala Nerus petang ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Jembal malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 5:10 PM