ANGGOTA ATM memasang kawat duri bagi persiapan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Tertutup, Sukpa Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
ANGGOTA ATM memasang kawat duri bagi persiapan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Tertutup, Sukpa Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Kawat berduri sepanjang 364 meter dipasang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk pesakit bukan warganegara berisiko rendah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pemasangan pagar itu dilakukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan tiada pesakit yang cuba keluar sepanjang tempoh kuarantin.

Katanya, pihaknya juga menempatkan antara 30 ke 50 petugas keselamatan untuk berkawal di pusat itu mengikut syif selama 24 jam.

"Sebenarnya, pagar ini bukan sahaja dipasang di luar PKRC, malah bahagian dalamnya juga untuk memastikan pesakit terus berada di sini bagi menerima rawatan.

"Ini adalah perancangan yang terbaik untuk memberikan rawatan yang sempurna kepada semua pesakit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM, agensi lain yang turut terbabit dalam kawalan keselamatan adalah Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Beliau yakin kekuatan dan penugasan daripada semua anggota berupaya memastikan keselamatan di PKRC itu terjamin serta mereka maklum tugas masing-masing menerusi penerangan yang diberikan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula akan menjelaskan terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP) cegah jangkitan seperti pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan pelitup muka serta penjarakan fizikal.

"Apa yang penting penting pesakit terbabit tidak boleh menyelinap keluar dari kawasan pusat ini," katanya

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 3:31 PM