Norzamira Che Noh


Klang: Seramai 3,719 pekerja asing sudah disaring menerusi Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan sejak 1 Disember lalu.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dr Azlan Darus berkata, jumlah pekerja yang disaring akan terus meningkat selepas program berkenaan diperluaskan kepada zon merah lain.

"Mulai hari ini, program saringan berkenaan juga terbuka kepada majikan atau pemilik syarikat di zon merah seperti Hulu Langat, Petaling, Gombak dan lain-lain.

"Majikan yang ingin menyertainya boleh menghubungi klinik yang menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19. Senarai klinik yang terbabit boleh dilihat di laman sesawang rasmi Perkeso.

"Sehingga kini, sebanyak 529 klinik sudah berdaftar dan bersedia menjalankan perkhidmatan saringan berkenaan yang mana 298 daripadanya di Selangor," katanya pada sidang media selepas pelaksanaan Program Saringan Bagi Pekerja Warga Asing di Kumpulan Syarikat Kossan, Meru dekat sini, hari ini.

Terdahulu Dr Azlan membuat tinjauan ujian saringan Covid-19 membabitkan 8,000 kakitangan termasuk 4,800 pekerja asing di syarikat berkenaan.

Katanya, ujian saringan itu menggunakan kaedah kit ujian pantas antigen (RTK Antigen) yang disediakan Perkeso, dijalankan secara berperingkat sehingga 14 hari, bermula 3 Disember hingga 16 Disember ini.

"Kaedah saringan ini diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kit ujian itu akan dibiayai Perkeso, manakala majikan perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan klinik atau hospital.

"Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan ditanggung sepenuhnya majikan," katanya.

Dalam pada itu, Perkeso juga menyeru agar pihak majikan memainkan peranan lebih besar dalam memutuskan jaringan Covid-19 di tempat kerja.

Dr Azlan berkata, berdasarkan maklumat daripada KKM, beberapa faktor dikenal pasti sebagai penyumbang kepada penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja termasuk tempat penginapan, kebersihan kendiri dan persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang warga asing kumpulan syarikat Kossan di Meru, Klang. FOTO Faiz Anuar
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang warga asing kumpulan syarikat Kossan di Meru, Klang. FOTO Faiz Anuar

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:44 PM