GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Orang ramai yang berada di zon merah dinasihatkan tidak pulang ke kampung yang berada dalam zon hijau dan bebas pandemik Covid-19.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, ia bagi mengelakkan penularan wabak itu terjadi di kawasan zon hijau.

Beliau yang juga Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor, terdapat kes membabitkan individu tidak mempunyai simptom, tetapi menjadi pembawa kepada virus itu.

"Pada pandangan saya, kebenaran merentas negeri bukan tiket untuk menyebarkan penyakit ini. Semua pihak perlu mengambil langkah selamat dan berhati-hati.

"Berikutan catatan kes Covid-19 masih tinggi di negara ini, kita sepatutnya mengelakkan untuk pergi ke zon hijau termasuk balik ke kampung.

"Kehilangan ahli keluarga tersayang lebih memeritkan daripada tidak dapat pulang ke kampung buat masa ini. Setelah keadaan kembali reda, mereka boleh pulang ke kampung," katanya selepas menyerahkan sumbangan minuman dan makanan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

MICHAEL Tay (Kiri) menyerahkan bantuan minuman dan makanan kepada petugas barisan hadapan di HSA. FOTO Ihsan Michael Tay
MICHAEL Tay (Kiri) menyerahkan bantuan minuman dan makanan kepada petugas barisan hadapan di HSA. FOTO Ihsan Michael Tay

Michael Tay berkata, sumbangan itu adalah fasa pertama dan akan diserahkan secara berperingkat mengikut keperluan petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan bertungkus-lumus berusaha tanpa mengira waktu bekerja, bagi memutuskan rangkaian wabak itu dan orang ramai seharusnya membantu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 3:15 PM