GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Umat Islam disarankan menerima vaksin Covid-19 yang diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana ia kaedah lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang berkata, pihaknya difahamkan kandungan vaksin berkenaan bukan dari sumber gelatin binatang sebaliknya ia dibuat daripada unsur lain.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas bersama mufti baru-baru ini kita mendengar penjelasan daripada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kandungan vaksin Covid-19, mereka menerangkan vaksin yang akan kita terima bukan dari sumber gelatin binatang.

"Jadi pegawai KKM menyatakan keyakinan bahawa vaksin Covid-19 adalah halal dari unsur lain," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di Menara Zakat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai golongan tertentu yang ragu mengenai kandungan vaksin Covid-19 yang dikhuatiri dari sumber tidak halal.

Mengulas lanjut, Fadhil berkata, setakat ini penggunaan vaksin dirasakan lebih berkesan bagi menangani penularan Covid-19, justeru umat Islam tidak dapat mengelak untuk menggunakannya demi menjaga diri dan nyawa.

Ini kerana, katanya, Islam sangat menitik beratkan penjagaan diri dan nyawa.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19 pada 2021.

Beliau dipetik berkata, sehingga kini, Malaysia sudah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 2:53 PM