KORONER Maimoonah Aid (dua kiri, atas) mendengar keterangan saksi ke-43, pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Shue Feng (atas, kiri) pada prosiding inkues kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang disiarkan secara langsung di laman 'Youtube' Badan Kehakiman Malaysia, hari ini. FOTO BERNAMA
KORONER Maimoonah Aid (dua kiri, atas) mendengar keterangan saksi ke-43, pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Shue Feng (atas, kiri) pada prosiding inkues kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang disiarkan secara langsung di laman 'Youtube' Badan Kehakiman Malaysia, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa remaja perempuan Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin berkemungkinan meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemukan.

Dua pakar perubatan forensik, Dr Hanif Mahmud, 38, dari Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban (HJTS) dan Dr Siew Shue Feng, 50, dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), mendedahkan perkara itu pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne, yang memasuki hari ke-21, hari ini.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos 2019 iaitu 10 hari selepas dilaporkan hilang dari pusat peranginan tempat mendiang dan keluarganya menetap, sebaik tiba di Malaysia pada 3 Ogos tahun lalu.

"Jangkaan masa kematian berdasarkan kepada bedah siasat berubah kira-kira dua ke tiga hari, tetapi kurang daripada empat hari.

"Pelbagai kecederaan ditemukan dalam pemeriksaan dalaman dan ia disebabkan objek seperti ranting pokok, batu, pasir.

"Selaput simati masih dalam keadaan baik walaupun perubahan pereputan dan tidak ada kecederaan jelas pada luaran genitalia," kata Dr Hanif semasa membacakan keterangan saksi pada prosiding di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues sama ada bedah siasat dijalankan ke atas mayat yang memasuki fasa awal mereput pada 14 Ogos menjejaskan dapatan untuk mencari punca kematian, Dr Hanif yang juga saksi ke-42 berkata, meskipun keadaan mayat berubah akibat pereputan, proses bedah siasat tidak menghadapi masalah untuk dijalankan.

Saksi memberitahu semasa tiba di lokasi, Nora Anne ditemukan pada 4.44 petang 13 Ogos dan beliau melihat mayat berkenaan mengalami proses pereputan dengan kulit badan menggelupas dan berubah warna, selain dihurung lalat dan serangga serta telah dimakan ulat.

Ahmad Sazali: Boleh saya cadangkan bahawa kecederaan pada tubuh mayat adalah selari dengan latar belakang apabila si mati dikatakan hilang di dalam hutan?

Dr Hanif: Melalui lawatan kami jalankan di lokasi mayat ditemukan, saya berpendapat kecederaan pada si mati adalah konsisten dengan keadaan sekeliling di mana mayat dijumpai.

Sementara itu Dr Siew yang juga saksi ke-43 berkata, jika tubuh itu ditemui lebih daripada empat hari, keadaannya akan amat buruk terutama pada negara tropika seperti Malaysia.

"Jika anda lihat kepada gambar (si mati) daripada polis, ia tidak lebih daripada empat hari, empat atau lima hari di negara tropika semua rosak, tetapi tubuh masih lagi segar, malah ibu bapa masih boleh mengenal pasti jasad pada hari penemuan dan bedah siasat (dilakukan) pada hari kedua," katanya.

Kedua-dua saksi bersetuju bahawa luka di tapak kaki Nora Anne adalah selari dengan kawasan remaja itu dikatakan hilang, yang diselaputi hutan.

Dr Hanif dan Dr Siew berkata, hasil bedah siasat mendapati stress (tekanan perasaan) dan kelaparan menjadi punca utama yang menyebabkan kematian remaja itu, yang mengakibatkan pengulseran duodenum, perforasi dan pendarahan usus.

Kedua-dua saksi yang ditanya sama ada kemungkinan terdapat serangan seksual ke atas mangsa berkata, dapatan hasil bedah siasat mendapati tiada serangan seksual ke atas mangsa, berdasarkan pemeriksaan di kemaluan yang mendapati tiada koyakan pada selaput dara.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos iaitu sehari selepas beliau dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas dia dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan iaitu beliau dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 5:50 PM