HASNI Mohammad menggulung ucapan pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail. FOTO BERNAMA
HASNI Mohammad menggulung ucapan pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran RM30 juta untuk membantu dan meringankan beban golongan rentan yang terjejas akibat Covid-19 di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, ketika ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini , hari ini.

"Pada pagi ini sukacita saya memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran khas berjumlah RM30 juta untuk meringankan beban kumpulan rentan yang terjejas dengan Covid-19 di Johor," katanya.

Sementara itu, Hasni turut mengumumkan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini akan mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 secara 'one off'.

"Ia sebagai bantuan ADUN bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing berhadapan pandemik Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, saranan pemotongan gaji atau elaun sebanyak 10 peratus sebelum ini, bukan satu langkah yang realistik untuk dilaksanakan kerajaan Johor.

"Saranan pemotongan elaun ADUN untuk dimasukkan dalam Tabung Bencana Negeri Johor seperti yang dibangkitkan oleh ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan; ADUN Jementah, Tan Chen Choon dan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pula saya berpendapat, kita harus lebih realistik dan perlu memikirkan kesan jangka panjang apabila sesuatu keputusan dibuat

"Saya menghargai cadangan yang disampaikan itu. Namun, sumbangan untuk Tabung Bencana Negeri Johor hendaklah tidak bermotifkan untuk menarik simpati rakyat mahupun retorik semata-mata.

"Saya berharap isu potongan gaji dan elaun ini dijadikan isu politik. Keikhlasan diri dalam menderma atau berinfaq adalah lebih baik daripada terpaksa menderma. Biarlah tangan kanan yang memberi, tanpa diketahui oleh tangan kiri," katanya.

Hasni berkata, sehingga kini jumlah kutipan Tabung Bencana Negeri Johor adalah sebanyak RM32.3 juta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM28.8 juta dibelanjakan untuk pembelian peralatan bagi pasukan barisan hadapan, bantuan makanan asas kepada mangsa Covid-19, peralatan di pusat kuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 3:13 PM