Mohd Rafi Mamat


Pekan: Dua adik beradik antara 17 kanak-kanak Orang Asli berusia antara lima hingga 12 tahun berkhatan sempena program berkhatan saudara baharu di Klinik Kesihatan Bandar Pekan, di sini, hari ini.

Program kali ke tiga itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Pekan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) Pekan dan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.

Pengerusi PERKIM Cawangan Pekan Datuk Mohd Aripin Daut berkata, kanak-kanak yang menyertai program berkhatan kali ini tinggal di empat perkampungan Orang Asli di daerah ini.

Menurutnya, tiada sebarang bayaran dikenakan pada penjaga yang menyertai program itu.

"Usaha yang dilakukan PERKIM Cawangan Pekan ini antara bantuan disediakan kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam," katanya ketika ditemui, hari ini.

MOHD Aripin (kanan) bersama 17 kanak-kanak Orang Asli mengaminkan doa pada program berkhatan saudara baharu daerah Pekan di klinik kesihatan bandar Pekan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MOHD Aripin (kanan) bersama 17 kanak-kanak Orang Asli mengaminkan doa pada program berkhatan saudara baharu daerah Pekan di klinik kesihatan bandar Pekan. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Sementara itu Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, sokongan penggerak masyarakat Orang Asli daerah ini turut menjayakan program ini dengan memberi nasihat kepada ibu bapa untuk mengkhatankan anak mereka.

"Program berkhatan kali ini tidak dapat diadakan secara lebih meriah seperti sebelum dilakukan sebelum ini berikutan wabak Covid-19," katanya.

Bagi Khatijah Abdullah, 30 yang menetap di Kampung Melai, Tasik Chini, dua anaknya Samsul Abdullah, 7 dan Mohamad Iran, 8 amat teruja untuk berkhatan.

"Walaupun mereka berdua menangis ketika proses berkhatan namun saya bersyukur semua berjalan lancar," katanya yang berharap kedua-dua anaknya cepat sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 2:49 PM