FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Penduduk Bandar Puncak Alam hanya membantah penjualan arak di pasar raya itu dan tidak menghalang penjualan makanan tidak halal sekiranya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan kaunter berasingan," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Beliau berkata, pihak pengurusan pasar raya sebelum itu meletakkan arak dan makanan tidak halal di sudut yang sama sebelum mengambil keputusan menutup pintu masuk keseluruhan bahagian itu.

"Saya percaya mereka (pihak pengurusan pasar raya) akan buka semula sudut itu selepas alkohol dialihkan.

"Penduduk faham dan hormat kepada bukan Muslim di atas pilihan (makanan) mereka. Penduduk hanya mahukan kawasan ini bebas dari alkohol.

"Sebelum ini, penduduk ada menghantar memorandum (bantah penjualan arak) di beberapa pasar raya dan kedai serbaneka. Pemilik akur kepada kehendak penduduk di mana majoritinya beragama Islam," katanya tadi.

Mohd Shaid berkata, pihaknya sebelum itu menerima bantahan dari penduduk mengenai pembukaan sebuah pasar raya yang di dalamnya ada menjual arak.

"Saya yang mewakili penduduk kemudian menyerahkan memorandum itu kepada pihak pengurusan pasar raya.

"Pasar raya itu mengambil maklum dan menutup bahagian bukan halal termasuk makanan semasa saya tiba di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:07 PM