.Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan penanaman serentak 4,500 pokok harumanis Perlis 2020 bersempena  Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Sektor Pertanian) di Pusat Internet Malaysia, Kampung Batas Lintang, Simpang Empat di sini, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
.Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan penanaman serentak 4,500 pokok harumanis Perlis 2020 bersempena Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Sektor Pertanian) di Pusat Internet Malaysia, Kampung Batas Lintang, Simpang Empat di sini, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


Kangar: Jumlah pengunjung yang berkurangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati tidak menjejaskan jualan harumanis apabila ia boleh dipasarkan secara dalam talian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berikutan itu tanaman pokok mangga itu dilihat masih berpotensi meningkatkan hasil petani.

Baginda bertitah, program penanaman harumanis di Perlis dilihat sebagai inisiatif yang baik bagi merancakkan industri berkenaan pada masa hadapan.

"Pengusaha tanaman harumanis perlu mengambil peluang sebaik mungkin dengan menyelenggara dan menguruskan pokok dengan baik sehingga dapat mengeluarkan hasil berkualiti dan selamat untuk dipasarkan.

"Ikutilah kursus dan dapatkanlah khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dalam pengurusan harumanis mengikut amalan teknologi yang ditetapkan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan penanaman serentak 4,500 pokok harumanis Perlis 2020 bersempena Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Perlis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penularan Covid-19 jelas memberi kesan begitu besar terhadap sumber pendapatan dan keperluan sara hidup rakyat.

Berikutan itu, baginda berharap golongan terjejas khususnya kelompok B40 digalakkan menyertai aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan sampingan

"Aktiviti pertanian sekiranya diusahakan dengan cara dan kaedah betul, ia akan mampu memberi sumber pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:02 PM