GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dakwaan yang dilemparkan segelintir individu di media sosial yang menuduh guru hanya makan gaji buta sepanjang tempoh penutupan sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sememangnya amat berat untuk ditelan.

Selain dikatakan makan gaji buta, paling teruk ada juga yang menyarankan supaya kerajaan membabitkan guru dalam tugas barisan hadapan seperti menjaga sekatan jalan raya.

Tuduhan yang mempertikaikan profesionalisme pendidik itu pastinya mengguris hati guru yang kini berjumlah kira-kira 420,000 orang di seluruh negara.

Hakikatnya, tidak ada istilah makan gaji buta bagi guru yang kini berhadapan cabaran baharu apabila terpaksa melaksanakan tanggungjawab mendidik melalui sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPDR)

Satu tinjauan ringkas yang membabitkan 1,742 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta membuktikan dakwaan itu sangat tidak tepat.

Dalam soal selidik yang dijalankan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) November lalu, 85 peratus guru menyatakan mereka meluangkan antara satu hingga empat jam sehari melaksanakan aktiviti PdPDR, manakala baki 15 peratus memperuntukkan lebih dari empat jam sehari.

Bagi kaedah pengajaran yang digunakan, 37 peratus melalui dalam talian, 16 peratus secara luar talian, 45 peratus secara dalam talian dan luar talian, manakala yang selebihnya berada di pusat-pusat komuniti untuk mengedar dan mengutip nota, latihan dan tugasan yang diberikan kepada murid.

Ketua kajian Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata dapatan yang diperoleh menunjukkan majoriti guru melaksanakan tugas hakiki mengajar ketika PKP dan PKPB dengan mengikut jadual waktu yang diberikan kepada mereka.

"Mungkin ada yang musykil mengapa majoriti guru mengajar tidak sampai pun empat jam sehari? Apa yang dijelaskan oleh guru yang terbabit dalam tinjauan itu, tugas sebenar mereka bukan sahaja mengajar sebaliknya ada lagi tugas-tugas lain yang berkaitan pentadbiran perlu dilaksanakan.

"Antaranya menyemak tugasan murid, menyediakan bahan bantuan mengajar, merekod data kehadiran dan tugas-tugas lain seperti yang diarahkan pengetua atau guru besar serta Pejabat Pendidikan Daerah," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam tinjauan itu juga guru yang terbabit turut berkongsi cabaran dan kekangan PdPDR atau home-based learning (HBL) dengan 80 peratus menyatakan cabaran utama mereka adalah memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung.

Ini diikuti cabaran dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan dan kesediaan murid, di samping perlu memastikan murid dapat memberi tumpuan agar mereka faham dan seronok belajar dalam setiap kelas yang diadakan.

"Selain itu sebanyak 70 hingga 80 peratus menyatakan masalah kestabilan internet, kebolehgunaan peranti mengajar seperti komputer, telefon, tablet, ruang pembelajaran murid, sokongan ibu bapa dan keprihatinan kepimpinan sekolah.

"Cabaran lain yang menggugat kredibiliti guru, seperti Astro, Netflix, video game dan lain-lain yang seumpamanya yang boleh diakses pada bila-bila masa secara percuma dan lebih mengujakan murid sekolah khususnya para remaja," katanya, sambil menambah laporan lengkap tinjauan dijangka siap Januari tahun depan.

Beliau berkata dalam hal pendidikan, tidak wajar guru sahaja dipersalahkan kerana banyak perkara yang perlu diambil kira antaranya masalah kesihatan mental dan fizikal pelajar yang 'terkurung' berikutan PKP dan PKPB, ruang dan kediaman yang tidak selesa, konflik keluarga dan persoalan lain yang turut mengganggu pembelajaran pelajar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapat sentimen atau tuduhan melulu individu atau pihak yang menyatakan guru makan gaji buta ketika PKP dan PKPB disebabkan mereka tidak memahami tugas dan tanggungjawab guru.

Beliau berkata, jika gaji guru hanya perlu dibayar ketika mengajar di dalam kelas, itu adalah satu tanggapan yang sangat salah kerana banyak beban dan cabaran guru terutama ketika PKP dan PKPB dalam memastikan pelajar meneruskan pembelajaran di rumah.

Ini termasuk mempersiapkan nota-nota pengajaran, dokumen dan sebagainya sebelum melakukan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam talian atau luar talian, katanya.

"Apakah kita mampu berkata kepada ahli bomba, mereka makan gaji buta kerana mereka tidak memadamkan api, atau kita kata pihak polis memakan gaji buta kerana tidak menangkap pencuri atau penjenayah.

"Walaupun kelas ditutup, kuliah tidak ada, tidak bermakna guru makan tidur semata-mata. Mereka tetap bertugas seperti biasa terutama mempersiapkan nota-nota semasa PKP untuk dikongsikan dengan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 8:55 AM