Gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan sembilan pegawai, termasuk Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkuat kuasa 4 Januari depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad berkata, jawatan baharu Mohd Azman ialah Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman.

Katanya, pertukaran lain membabitkan Ketua Penolong Pengarah (D14) Siasatan Jenayah Terancang JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Baharudin Mustapha yang akan dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

"Ketua Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Rajagopal Ramadhass pula bertukar ke Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah akan dilantik sebagai Ketua (D10) Fizikal, JSJ Bukit Aman.

Asmawati berkata, Ketua (D10) Fizikal, JSJ Bukit Aman sekarang iaitu Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis SH Abdullah akan bertukar sebagai Timbalan Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Sarawak.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-lain Jenayah JSJK Bukit Aman Asisten Komisioner Wong Ing Fung pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Perak.

Asmawati berkata, pertukaran turut membabitkan Timbalan Ketua JSJ Siasatan/Perundangan) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Ruslan Ibrahim bertukar sebagai Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-lain Jenayah JSJK Bukit Aman.

"Penolong Pengarah Latihan (Urus Tadbir/Latihan) Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman Asisten Komisioner Noraziah Zakaria akan dilantik Ketua Jabatan Pengurusan, Perak.

"Timbalan Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Sarawak Asisten Komisioner Hakemal Hawari pula bertukar Ketua Polis Daerah Miri, Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 11:12 PM