DR Zulkifli ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada gelandangan di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
DR Zulkifli ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada gelandangan di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiada kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terbabit dengan kegiatan penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk pasaran tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sudah melawat dan meninjau makmal halal Jakim dan dapat melihat kesungguhan setiap pegawai serta kakitangan dalam menjalankan tugas.

"Saya tidak akan kata macam itu (dikaitkan dengan pegawai Jakim), melainkan apabila ada bukti dan setakat ini saya beristiqah (percaya) kerana saya baru melawat di tempat Jakim, makmal dan halalnya, Alhamdulillah apa yang saya lihat, kesungguhan itu amat terbukti.

"Saya beri peringatan kepada diri saya dan juga agensi di bawah saya untuk bekerja dengan betul, tekun, ikhlas dan jujur, mempunyai integriti yang tinggi, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Gelandangan dan Melancarkan Kelas Bimbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Gelandangan Dapur Kausar, di sini, petang ini.

Turut hadir Yang Dipertua Yadim Nasarudin Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli dan Pengurus Operasi Dapur Kausar Sakura Azlin Ali Akbar.

Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengetuai serbuan bersama agensi penguat kuasa lain ke sebuah gudang menyimpan daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal palsu.

Taktik berkenaan terbongkar dalam satu serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah Gudang di Senai, Johor Bahru.

Berdasarkan siasatan awal, daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, Jakim akan melakukan gerakan kerjasama membabitkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk di peringkat negeri, untuk memantau sebarang kegiatan pemalsuan logo halal.

"Insya-Allah kita (Jakim) akan membuat pemantauan membabitkan kerjasama dengan badan-badan serta kementerian yang berkaitan.

"Di samping itu kita juga akan bergerak berhubung dengan kerajaan negeri untuk melihat dengan lebih dekat lagi dan memastikan halal ini jelas dan benar-benar diperakui dan tidak diragui lagi," katanya.

Dr Zulkifli turut mengucapkan terima kasih terhadap pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Kausar yang mengambil langkah membuka kelas pengajian agama untuk golongan mualaf dan gelandangan.

"Kerjasama seperti ini dapat tingkatkan syiar dan kefahaman Islam, insya-Allah, Yadim menyantuni seluruhnya tanpa mengira bangsa, bahasa dan juga warna kulit termasuk agama dalam menyampaikan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 7:34 PM