Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal Azumu.
BERNAMA

Ipoh: Pakatan Harapan (PH) Perak menyifatkan usul undi percaya yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti membuktikan Perak berjaya mendaulatkan sistem demokrasi.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia merupakan kali ketiga seorang menteri besar di negara ini gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris dan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir, masing-masing pada 1975 dan 1977.

"Selepas 43 tahun, negara kita sekali lagi menyaksikan (seorang lagi menteri besar) hilang kepercayaan (majoriti ADUN) menerusi usul undi percaya. Ini satu kemenangan demokrasi.

"Kami di barisan blok pembangkang yakin Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan mengambil perhatian mengenai perkara ini dan saya minta seluruh rakyat di negeri Perak bersabar kerana pembentukan kerajaan negeri baharu nanti akan diatur mengikut lunas undang-undang dan prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Wisma DAP di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pula berkata, kepimpinan PH akan mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan baharu berkenaan.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada Bersatu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan ADUN Pengkalan Baharu daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Manap Hashim pada persidangan DUN hari ini.

Daripada 59 ADUN Perak, 10 menyokong usul itu manakala 48 lagi menolak dan satu undi rosak dalam undi sulit yang diputuskan oleh Speaker DUN Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid selepas membenarkan Abd Manap membentangkan usul berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 4:40 PM