AHMAD Faizal pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam
AHMAD Faizal pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam
BERNAMA

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan akan melakukan peralihan kerajaan negeri yang baharu secara berhemah selepas beliau gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini.

Katanya beliau reda dengan keputusan itu.

"Adalah satu kebanggaan buat saya untuk berkhidmat bagi negeri ini dan patik dengan izin menjunjung kasih kepada Sultan Perak atas kesempatan patik untuk menabur bakti pada Sultan. Terima kasih semua," katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini, selepas Speaker DUN Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan keputusan undi sulit terhadap usul undi percaya kepada menteri besar yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

Undi sulit berkenaan menyaksikan ADUN Chenderiang itu hanya menerima 10 undi menyokong, sementara 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Ahmad Faizal turut berterima kasih kepada rakyat dan kesemua ADUN termasuk daripada bekas sekutu Pakatan Harapan (PH) dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau juga berharap agar segala program bermanfaat yang diperkenalkan sebelum ini diteruskan.

Timbalan Presiden Bersatu itu dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak menerusi kerajaan Perikatan Nasional pada 13 Mac lalu selepas Bersatu keluar daripada PH.

Ahmad Faizal sebelum itu menerajui kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Kerajaan PH Perak tumbang pada 10 Mac lalu.

Berita berkaitan

  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal

  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:06 PM