Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari, 39, ketika tiba untuk menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, 27 November lalu. FOTO DANIAL SAAD
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari, 39, ketika tiba untuk menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, 27 November lalu. FOTO DANIAL SAAD
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Sarjan Norihan Tari, 39, yang parah akibat serangan di Padang Besar minggu lalu, dijangka dibenar keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam tempoh terdekat.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Rosman Kasman berkata, Norihan sudah boleh bercakap, makan dan minum serta berjalan.

Beliau berkata, Norihan kini tidak bergantung kepada alat bantuan pernafasan malah tiub dari abdomennya juga sudah dikeluarkan.

"Isteri Norihan akan pulang ke Kem Batalion 3 PGA hari ini untuk uruskan kebersihan rumah dan melakukan persiapan untuk dia pulang.

"Sepanjang berada di Pulau Pinang, isteri Norihan menetap sementara di Perumahan Polis Lone Pine, bagi memudahknnya menjaga suaminya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosman berkata, setakat ini lawatan masih belum dibenarkan.

Pada 30 November lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, pakar yang merawat Norihan memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas pembedahan mengeluarkan dua butir peluru di tubuhnya berjaya.

Abd Rahim berkata, susulan perkembangan itu, Norihan dipindahkan ke wad biasa namun masih di bawah pemantauan serta pemerhatian pakar.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi 24 November lalu, Norihan dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berbalas tembakan ketika bertempur dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di bahagian perut manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.5 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan sebelum dihantar ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:25 PM