Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Polis Kelantan menasihati penduduk negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 walaupun berhadapan musim tengkujuh dan banjir.

Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan selain sentiasa menjalani kehidupan secara norma baharu.

Katanya, SOP pencegahan wabak juga diamalkan petugas keselamatan ketika menguruskan mangsa banjir.

"Keadaan banjir di Kelantan pada ketika ini masih lagi di peringkat awal dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong adalah PPS terawal yang dibuka di jajahan Kota Bharu membabitkan seramai 50 mangsa daripada 10 keluarga.

"Di PPS, semua kemudahan disediakan termasuklah internet bagi memudahkan anak-anak yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian, selain bekalan makanan juga mencukupi," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di PPS SK Tiong di sini, hari ini.

Untuk itu, Shafien berkata, penduduk hanya perlu mematuhi SOP termasuk larangan yang termaktub dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang membenarkan hanya tiga orang menaiki satu kenderaan melainkan hal tertentu.

"Bagaimanapun, sekiranya ada yang menaiki kenderaan melebihi tiga orang dan (alasannya) hanya mahu bersiar-siar atau bermain air, ia sudah jelas melanggar SOP.

"Sekiranya dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, jangan memarahi mereka (polis) kerana SOP ini sudah lama diuar-uarkan. Namun, saya yakin dan percaya bahawa rakyat Kelantan berdisiplin dalam mematuhi SOP, malah setakat ini masih belum ada lagi kompaun yang dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Jajahan (Khidmat Pengurusan) Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Shahiran Shaari berkata, sebanyak 25 Bilik Gerakan Banjir dibuka 24 jam sejak semalam dan kakitangan bertugas mengikut giliran.

SHAFEIN (kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tiong, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SHAFEIN (kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tiong, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Di Kota Bharu kita mempunyai 111 PPS yang digazetkan, namun setakat ini hanya tiga PPS yang dibuka iaitu di SK Tiong, SK Melor dan dan Islamic Outreach Abim Kok Lanas.

"Dari segi penyediaan makanan kepada mangsa banjir, mereka akan diberikan makanan yang sudah siap dibungkus dan diberikan empat kali sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 1:02 PM