SUSPEK ditahan empat hari bermula hari ini. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK ditahan empat hari bermula hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang pembantu rumah Indonesia ditahan reman empat hari bermula hari ini selepas dipercayai sengaja mencederakan anak majikan di Taman Aman, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek ditahan selepas ibu kanak-kanak itu membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan membuat laporan polis pada tengah malam tadi.

"Kira-kira jam 6.30 petang semalam, pengadu (ibu kanak-kanak) menerima panggilan daripada ibu mentuanya memaklumkan anak lelaki pengadu yang berumur tujuh tahun cedera di dahi.

"Pengadu yang berumur 33 tahun itu bergegas pulang ke rumah dan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kanan anaknya.

"Pengadu cuba mendapatkan penjelasan daripada pembantu rumahnya tetapi pembantu rumahnya mengaku tidak melakukan apa-apa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Nurulhuda berkata, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah pengadu mendapati ketika kejadian, suspek dilihat dengan sengaja menendang meja sehingga terkena anak pengadu.

"Di rumah itu ada ibu mentua pengadu, suspek dan tiga anak pengadu dan ketika kejadian ibu mentua pengadu berada di dapur, suspek pula sedang menyapu di ruang tamu manakala, anak pengadu (mangsa) sedang bermain di atas meja di ruang tamu.

"Suspek menolak meja dengan kakinya secara sengaja sehingga menyebabkan anak pengadu jatuh tersembam ke lantai dan perbuatan itu dirakam jelas melalui CCTV di rumah pengadu," katanya.

Menurutnya, pembantu rumah itu berusia 23 tahun dan sudah bekerja di rumah pengadu selama dua tahun dengan gaji RM1,200 sebulan.

Katanya, susulan kejadian suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini dan pihaknya melakukan siasatan lanjut sama ada suspek pernah cuai atau mendera anak pengadu sebelum ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 12:45 PM