TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular media sosial
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kekerasan didakwa dilakukan lelaki yang memakai pakaian tentera terhadap pekerja warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) asrama pekerja Top Glove, dekat sini.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, laporan itu dibuat pengurusan Top Glove dan diterima pihaknya petang semalam.

"Saya mengesahkan yang kita ada menerima laporan mengenai kekerasan dikatakan dilakukan anggota penguat kuasa.

"Perkara itu dilaporkan pengurusan Top Glove dan kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan menggunakan senjata)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja asing didera lelaki yang memakai pakaian tentera dalam laman sosial Facebook, semalam.

Difahamkan, menerusi rakaman berkenaan, seorang lelaki memakai seluar celoreng memegang alat seperti cambuk mengarahkan pekerja asing itu berguling atas tanah.

Dalam pada itu, Muhammad Yazid turut menjelaskan mengenai video tular membabitkan pekerja warga asing memanjat keluar menerusi pagar asrama pekerja Top Glove seperti yang dilaporkan sebuah akhbar Selasa lalu.

Katanya, warga asing berkenaan tidak keluar daripada kawasan PKPD itu sebaliknya mereka memanjat pagar untuk ke sebuah rumah yang dijadikan kedai runcit di dalam kawasan berkenaan.

"Mereka keluar untuk membeli di kedai runcit berkenaan dan ia masih dalam kompaun PKPD terbabit.

"Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga sudah mengambil tindakan saman terhadap pemilik rumah berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:34 PM