Menyediakan alat pemeriksaan suhu antara SOP ditetapkan MKN. FOTO NSTP
Menyediakan alat pemeriksaan suhu antara SOP ditetapkan MKN. FOTO NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Enam premis perniagaan di bandar ini diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan sepanjang bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, penutupan premis itu dilaksanakan berkuat kuasa antara tiga hingga 14 hari.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu, pensanitasi tangan dan mencatat nama pelanggan.

"Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas untuk memastikan pemilik premis perniagaan di daerah ini mematuhi SOP ditetapkan dalam menyekat penularan Covid-19.

"Sepanjang bulan lalu, sebanyak 69 premis diperiksa dan enam premis mengendalikan masakan panas, lauk dan minuman diarah ditutup kerana hanya merekodkan dua daripada lima bintang.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan menentukan tempoh penutupan antara tiga hingga 14 hari berdasarkan sistem penarafan bintang yang baharu diperkenalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:06 PM