Mohd Sharkar Shamsudin.
Mohd Sharkar Shamsudin.
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pusat sewajarnya hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan merah dan kuning Covid-19 sahaja.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pelaksanaan itu penting untuk merancakkan kembali ekonomi negara dan memulihkan semula sektor pelancongan.

Justeru, beliau berpandangan kerajaan sewajarnya memikirkan situasi menang-menang dalam pelaksanaan PKPB.

"PKPB wajar diteruskan, tetapi perlu dilaksanakan mengikut daerah dan tidak membabitkan seluruh negara.

"Jika sesuatu daerah itu merah dan kuning, hanya kawasan berkenaan perlu dikenakan PKPB.

"Jika PKPB dilaksanakan seluruh negara atau negeri, ia akan membabitkan kesan kepada ekonomi, ramai akan hilang pekerjaan dan ramai peniaga kecil terkesan ekoran pelaksanaan PKPB," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, sebagai contoh, industri pelancongan di Pahang berhadapan cabaran cukup besar apabila kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong dalam tempoh sebulan sejak Mac lalu.

Beliau berkata, kehilangan pelancong mendadak itu amat membimbangkan kepada semua industri pelancongan, sekali gus memberi kesan kepada pencapaian sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri komited memastikan industri itu bangkit dan berdaya saing dengan merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong khususnya bagi pelancongan domestik.

"Misalnya dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2021, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap daerah di Pahang.

"Kerajaan Negeri turut mengemukakan permohonan projek pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM49.25 juta," katanya.

Beliau berkata, sektor pelancongan perlu dipulihkan segera kerana ramai pemain industri terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:21 PM