GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang menafikan ada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kuantan, Pekan dan Bentong susulan satu kes positif Covid-19 di daerah ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, Jawatankuasa Task Force Covid-19 Pahang giat melaksanakan proses pengesanan kontak rapat dan sedang membuat penilaian risiko terhadap kes terbabit.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta tidak menyebarkan berita palsu dan merujuk kepada saluran rasmi untuk maklumat yang tepat.

"Bagi menyekat penularan Covid-19, masyarakat dinasihat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter.

"Selain itu, memakai pelitup muka terutama ketika berada di tempat awam, mengelakkan di kawasan yang sesak, sempit dan bertutur atau bersembang dengan jarak yang dekat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hari ini, tular di media sosial bahawa PKPD secara pentadbiran akan dilaksanakan di Kuantan, Pekan dan Bentong susulan satu kes positif membabitkan seorang wanita yang dikatakan mempunyai ramai kontak rapat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 5:19 PM