SHAHRUL Azam menunjukkan produk baharu Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun). FOTO Ihsan MAIPk
SHAHRUL Azam menunjukkan produk baharu Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun). FOTO Ihsan MAIPk
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melancarkan produk terbaharu Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta'awun) sebagai inisiatif memudahkan masyarakat Islam berbelanja secara patuh syariah sekali gus dapat melaksanakan ibadah zakat dan berwakaf.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Shahrul Azam Shaari berkata, Kad Prabayar berbentuk e-wallet universal yang dikeluarkan dengan kerjasama GoPayz dan dibangunkan oleh U Mobile itu boleh didapati secara fizikal ataupun maya melalui laman Facebook MAIPk iaitu Zakat Perak-MAIPk dan Waqaf Perak Ar-Ridzuan.

"MAIPk sentiasa komited memperkasakan pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam khususnya menerusi medium zakat dan wakaf.

"Inisiatif baharu ini memfokuskan semangat ta'awun (bantu-membantu) yang mana MAIPk dan masyarakat saling bekerjasama secara tidak langsung untuk mengumpulkan dana wakaf tunai dan mewujudkan projek wakaf yang berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, produk kad prabayar berkenaan berfungsi seperti kad debit bank dan pelanggan boleh berbelanja di semua premis yang mempunyai terminal kad VISA dalam dan luar negara serta membuat pengeluaran tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Walaupun konsep penggunaannya sama seperti kad debit bank namun kad prabayar ini tidak memerlukan pengguna mempunyai akaun bank dan ia hanya menggunakan perkhidmatan kewangan digital yang berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu e-wallet GoPayz.

"Ciri keselamatan Kad Prabayar ini adalah mengikut peraturan yang digariskan oleh BNM, pemegang kad juga boleh menyekat penggunaan kad melalui aplikasi GoPayz sekiranya kehilangan kad atau terdapat sebarang transaksi meragukan dengan serta-merta," katanya.

Menurutnya, kad juga adalah produk 'mesra Muslim' dengan menyekat sebarang transaksi yang tidak menepati syari'ah seperti transaksi membabitkan perjudian, arak dan lain-lain.

Katanya, kad ditawarkan kepada semua pengguna di seluruh negara dan boleh digunakan untuk pembayaran zakat, wakaf dan derma khususnya di negeri Perak.

Pengguna yang memohon kad bermula sekarang sehingga 31 Disember 2020 boleh mendapatkan kad secara percuma terhad kepada 2,500 unit terawal di semua cawangan MAIPk seluruh negeri ini.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.maiamp.gov.my atau www.gopayz.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 5:40 PM