PENDUDUK, Mamat@Mohd Abdullah, 71, melihat keadaan jambatan yang menghubungkan Kampung Air Putih dan Teladas yang masih ditenggelami air pada Sabtu lalu. FOTO Ghazali Kori.
PENDUDUK, Mamat@Mohd Abdullah, 71, melihat keadaan jambatan yang menghubungkan Kampung Air Putih dan Teladas yang masih ditenggelami air pada Sabtu lalu. FOTO Ghazali Kori.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Situasi banjir di tiga negeri pada pagi ini dalam keadaan terkawal dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal 46 orang seperti semalam.

Di MELAKA, paras air di tiga kawasan dinaiki banjir iaitu Kampung Tasek, Kampung Tersusun dan Kampung Parit Penghulu di Jasin mula menyusut setelah cuaca baik setakat 8 pagi, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu berkata bagaimanapun, tiga keluarga membabitkan 16 mangsa dari kawasan terjejas masih lagi ditempatkan di PPS SK Parit Gantong, satu-satunya PPS di Melaka yang masih beroperasi sehingga kini.

Di KELANTAN, mangsa banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas kekal dengan 22 orang membabitkan lima keluarga yang ditempatkan di satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan trend menurun namun masih di paras bahaya dengan bacaan melebihi sembilan meter (m) sejak semalam.

Di KUALA TERENGGANU, mangsa banjir kekal lapan orang daripada tiga keluarga setakat 8 pagi ini dan menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel PA Che Adam A Rahman, kesemua mereka berada di PPS terakhir yang masih beroperasi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang.

"Empat daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka menerima taburan hujan yang agak tinggi sehingga Khamis. Justeru, penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai perlu bersiap siaga dan peka dengan sebarang perubahan cuaca sekitar mereka," katanya.

Bagaimanapun, di PERAK, Kampung Matang Tengah di Bagan Serai kembali dilanda banjir malam tadi selepas dua hari surut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai musibah di daerah Kerian itu pada 8 malam dan mendapati paras air di kawasan terjejas sedalam 0.61 meter.

"Seramai 15 mangsa banjir daripada empat keluarga telah berpindah semula dengan sendiri ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak selepas kediaman mereka dinaiki air," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, di Perak Tengah pula seramai 10 mangsa dari Kampung Parit 13 dan Kampung Parit 14 masih berlindung di PPS SK Titi Gantung, Bota di Seri Iskandar.

Operasi pemantauan dilakukan secara berkala oleh pihak bomba dan pelbagai agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, JKM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 12:01 PM