Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengeluar sarung tangan Top Glove dan beberapa syarikat lain, yang didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Asri Ab Rahman berkata, syarikat terbabit berdepan sebanyak 63 pertuduhan daripada 21 kertas siasatan sudah dibuka sejak akta itu dikuatkuasa September lalu bagi menyiasat ketidakpatuhan yang meliputi pelbagai subsektor ekonomi.

Beliau berkata, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"JTKSM akan melaksanakan pendakwaan di mahkamah. Selain itu tindakan denda dan kompaun juga akan dikenakan terhadap majikan yang ingkar

"Kita sudah pergi ke semua kilang membabitkan kluster (penularan Covid-19 di) Top Glove dan lihat penginapan. Antara yang disiasat ini dan akan didakwa termasuk syarikat yang dinyatakan tadi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Asri berkata, satu operasi penguatkuasaan dilakukan terhadap syarikat Top Glove, membabitkan lima negeri iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.

Ia susulan penularan wabak Covid-19 dalam Kluster Teratai yang dikesan pada 7 November lalu di sebuah kilang milik Top Glove di Meru, Klang.

Katanya, operasi pada 26 November lalu yang membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove, mendapati majikan tidak mematuhi Akta 446 dengan kesalahan utama kegagalan memohon Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja mengikut Seksyen 24D akta berbabit.

Kegagalan itu membawa kepada kesalahan lain termasuk keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa dan tiada pengudaraan yang sesuai selain bangunan yang digunakan sebagai penginapan turut tidak mematuhi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

ASRI ketika sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ASRI ketika sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Asri berkata, daripada 54,000 majikan di seluruh negara yang menyediakan penginapan bagi pekerja masing-masing, hanya 665 yang sudah membuat permohonan Perakuan Penginapan daripada JTKSM sejak pindaan akta itu dikuatkuasakan dua bulan lalu.

"Melalui perakuan itu, kita akan semak sama ada mereka mematuhi atau tidak patuh. Pada masa sama, JTKSM sudah membuat pemeriksaan terhadap 24,000 syarikat di seluruh negara.

"Kami mendapati kepatuhan hanya sebanyak 30 peratus daripada 24,000 majikan yang menyediakan penginapan dan sudah diperiksa.

"Kita juga sudah tubuh jawatankuasa kuasa di empat zon bagi pematuhan Akta 446 membabitkan enam subsektor yang sediakan penginapan pekerja dan jawatankuasa ini berhubung dengan majikan," katanya.

Beliau berkata, kepatuhan terhadap Akta 446 itu berikutan kerajaan tidak mahu penginapan yang disediakan itu menjadi punca penularan penyakit berjangkit selain mengelakkan subsektor ekonomi itu daripada terbabit dengan tuduhan buruh paksa.

Katanya, penyediaan perumahan serta penginapan oleh majikan dalam subsektor pembuatan dan pembinaan antara yang paling teruk manakala peladangan antara yang terbaik.

Pada masa sama, Asri berkata, ada beberapa syarikat yang dianggap sebagai antara terbaik dalam penyediaan penginapan pekerja dan juara industri iaitu Hartalega yang terbabit pembuatan sarung tangan getah, Sime Darby bagi sektor perladangan, manakala Intel bagi elektronik dan elektrikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 11:35 AM