Suspek ditahan anggota PGA ketika cuba menyeludup keluar barang kawalan melalui kawasan perairan Semporna, awal pagi tadi. FOTO Ihsan PGA.
Suspek ditahan anggota PGA ketika cuba menyeludup keluar barang kawalan melalui kawasan perairan Semporna, awal pagi tadi. FOTO Ihsan PGA.
BERNAMA

Semporna: Cubaan empat lelaki menyembunyikan petrol serta ubat-ubatan haiwan di kawasan Kuala Bibang dekat sini, dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran, digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pihaknya yang melakukan pemeriksaan di kawasan pondohan (rumah kecil atas air) Kuala Bibang menyerbu empat lelaki yang leka memunggah tong dan kotak dari tiga bot ke dalam pondohan pada 7 malam.

"Suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan melarikan diri namun seorang daripada mereka yang berusia 30-an berjaya ditahan.

"Anggota yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian menemui 21 tong berisi 525 liter petrol, 24 tong minyak kosong dan empat kotak ubat-ubatan haiwan tanpa lesen," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan termasuk tiga bot laju serta enjin bernilai RM83,386.75 itu kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah menasihati komuniti maritim agar menyalurkan maklumat dengan melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam MERS999 atau WhatsApp Pusat Komunikasi PPM Sabah di 013-2831 197.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:15 PM