Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 993 individu ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini selepas terbabit dalam kegiatan 'Macau Scam'.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata, tangkapan pada 1 Januari hingga 31 Oktober itu membabitkan 912 warga tempatan dan 81 rakyat asing.

"Pertuduhan yang sudah dibuat berkaitan kes Macau Scam ini ialah 605 orang," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai jumlah kes penipuan Macau Scam serta peringkat umur penjenayah yang terbabit pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, belum ada kajian mengenai umur mereka yang terbabit dalam kegiatan itu dan pihak Kementerian Dalam Negeri akan membuat penelitian berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Jonathan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia, syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan untuk membanteras jenayah penipuan dalam talian.

Selain itu, katanya sebuah Jawatankuasa Teknikal Jenayah Siber yang terdiri daripada PDRM dan SKMM sudah ditubuhkan pada Mac 2019 bagi tujuan sama.

Beliau berkata di peringkat dalaman PDRM pula, satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengenal pasti dan memantau trend terkini kes jenayah dalam talian serta bekerjasama dengan agensi seperti SKMM yang membantu dari segi kepakaran dan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 3:15 PM