JIMMY Puah menunjukkan keputusan analisa air Sungai Johor yang mengandungi bahan kimia berbahaya. FOTO FARID NOH
JIMMY Puah menunjukkan keputusan analisa air Sungai Johor yang mengandungi bahan kimia berbahaya. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Pembuangan bahan kimia berbahaya ke Sungai Johor di Jalan Kota Tinggi-Kulai didakwa menjadi punca pencemaran bau bekalan air yang disalurkan kepada pengguna negeri ini, Julai lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kilang haram yang dipercayai milik warga Singapura itu didakwa membuang bahan berkenaan anak sungai yang kemudiannya mengalir ke Sungai Johor.

Katanya, hasil ujian sebuah makmal swasta terhadap air berbau pandan itu mendedahkan ia dipercayai mengandungi Tetrahydrofuran (THF) iaitu bahan digunakan untuk melarut plastik.

"Bahan kimia ini jika melebihi piawaian ditetapkan boleh memberi kesan kepada kesihatan termasuk kepada otak manusia.

"Walaupun hanya THF ditemui pada sampel air, ia sudah cukup berbahaya apatah lagi ia adalah sumber utama air mentah untuk beberapa Loji Rawatan Air (LRA).

"Jika terdapat bahan kimia lebih berbahaya seperti berlaku di Selangor, tidak mustahil insiden ketiadaan air yang menjejaskan pengguna akan berlaku di negeri ini terutamanya di Johor Bahru dan Kulai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Julai lalu, penyedia bekalan air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd dilaporkan akan bekerjasama dengan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas air mentah di Sungai Johor bagi mencari punca air berbau pandan.

Sementara itu, Jimmy Puah, berkata pihaknya kecewa dengan maklum balas kerajaan negeri terhadap isu itu kerana masih tidak mengambil tindakan terhadap pemilik kilang haram berkenaan itu, sehingga hari ini.

Katanya, kilang itu wajar ditutup serta-merta dan bukan hanya dikompaun sekiranya tindakan diambil pihak berkuasa.

"Untuk rekod, Sungai Johor adalah punca bekalan air untuk 1.3 juta pengguna air di Johor Bahru serta Kulai," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Skudai, Tan Hong Pin berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan kerajaan negeri kerana lewat mengambil tindakan berhubung insiden air berbau pandan itu.

"Pakatan Harapan (PH) Johor mengambil sendiri inisiatif menghantar sampel air ke makmal swasta bagi mengetahui lebih lanjut punca berkenaan.

"Kami sudah bangkitkan isu ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) namun tidak mendapat kerjasama sewajarnya.

"Isu pencemaran sumber air wajar diambil serius kerajaan negeri sebelum Johor digemparkan lagi dengan isu Sungai Kim Kim kedua pula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 3:23 PM