GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Iskandar Puteri: Jumlah pelaburan di Johor menurun sebanyak RM5.74 bilion antara Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, penutupan sempadan antarabangsa memberi kesan langsung terhadap sektor pelaburan negeri ini.

"Wabak Covid-19 memberi kesan langsung yang amat buruk terhadap sektor pelaburan negeri ini.

"Jumlah pelaburan yang diperoleh pada tahun ini menurun sebanyak RM5.74 bilion jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang diterima bagi tempoh yang sama pada 2019," katanya.

Mohd Izhar menjawab soalan Ee Chin Li (DAP-Tangkak) yang bertanyakan nilai pelaburan yang masuk ke Johor sejak Januari sehingga sekarang pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Izhar berkata, Johor berjaya menerima pelaburan dalam sektor pengilangan berjumlah RM 5.71 billion, dari Januari sehingga September lalu.

Katanya, dari jumlah pelaburan berkenaan, nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk adalah sebanyak RM3.39 billion.

"Pelaburan domestik pula adalah sebanyak RM 2.32 billion dalam tempoh yang sama.

"Bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah pelaburan adalah sebanyak RM401.98 juta di mana ia membabitkan perkhidmatan hotel dan pelancongan

serta sokongan perkhidmatan yang lain.

"Butiran mengenai pecahan sektor dan nilai pelaburan tertinggi yang berjaya dibawa masuk ke Johor dari Januari sehingga September lalu ialah peralatan pengangkutan (RM1.168 billion),mesin dan kelengkapan (RM716.23 juta), elektrik dan elektronik (RM661.17 juta), tekstil dan produk tekstil (RM631.61 juta) dan produk mineral bukan metalik (RM392.37 juta)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 12:44 PM