PASUKAN penyelamat sedang mencari mangsa yang dikhuatiri lemas. FOTO Roselan Ab Malek
PASUKAN penyelamat sedang mencari mangsa yang dikhuatiri lemas. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Temerloh: "Mungkin ini ujian Allah. Saya bekas polis dan memang dulu sebahagian kerja saya mencari mangsa lemas di sungai, kini saya mengharapkan anak saya yang terjatuh ke Sungai Pahang segera ditemui," kata bapa mangsa lemas, Hamka Abu Bakar, 61.

Hamka berkata dia reda dengan ujian dan berdoa semoga anaknya, Loqman, 20, yang dipercayai terjatuh ke Sungai Pahang ketika melihat rawai ikan dekat Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang di sini, semalam, ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan diteruskan hari ini selepas ditangguhkan jam 6.30 petang semalam.

Hamka berkata, Loqman memberitahu mahu keluar rumah pada jam 9.30 pagi semalam bagi melihat rawai ikan.

"Tidak lama kemudian, rakan anaknya saya memberitahu botnya ditemui hanyut tetapi dia tiada," katanya.

Abang mangsa, Mohd Syakir, 39, berkata, sudah menjadi rutin adiknya turun ke sungai membantu bapa melihat sangkar ikan.

"Kami mempunyai 30 sangkar dan menternak patin sejak 15 tahun dulu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasnuddin Hussin berkata, pencarian mangsa diteruskan bermula jam 8 pagi tadi.

Beliau berkata, sebelum ini operasi pencarian dilakukan dalam lingkungan dua kilometer ke hilir sungai oleh 30 anggota terdiri polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Bermula 8 pagi tadi, pencarian dilakukan dalam jarak enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dan pada petang ini, ditambah lagi enam kilometer lagi sampai ke Bera Waterfront," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:29 PM