DR Noor Hisham bergambar bersama petugas kesihatan ketika mengadakan lawatan kerja di kawasan PKPD Jalan Teratai. FOTO FB Dr Noor Hisham Abdullah
DR Noor Hisham bergambar bersama petugas kesihatan ketika mengadakan lawatan kerja di kawasan PKPD Jalan Teratai. FOTO FB Dr Noor Hisham Abdullah
Ruwaida Md Zain

Klang: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini, mengadakan lawatan kerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Teratai, di sini.

Dr Noor Hisham menerusi Facebook rasminya berkata, dalam lawatan kerja itu, beliau diberikan taklimat oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Dr Masitah Mohamed berhubung perkembangan terkini pengurusan PKPD.

"Kawasan PKPD di Jalan Teratai terbahagi kepada dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B di mana setiap sektor menempatkan asrama lelaki dan wanita.

"Pengurusan Kesihatan disediakan anggota kesihatan dari PKD Klang dan Klinik Kesihatan Meru, anggota kesihatan bantuan dari daerah luar serta sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya

Beliau berkata, aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data.

"Alhamdulillah, saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terbabit dan mendengar isu-isu yang berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terbabit dalam pengurusan PKPD itu.

"Terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDTK, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela, Pejabat Penerangan dan NGO yang turut serta dalam menjayakan PKPD ini, " katanya.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman; Panglima 11 Briged Jeneral Norsham Md Tap; Pengarah Keselamatan Negeri Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan.

Lawatan kerja itu juga dihadiri Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh dan Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 5:59 PM