Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lima aspek penting (5P) iaitu pendaftaran, pembekalan, pemberian (agihan), pemantauan dan penilaian membabitkan bekalan vaksin bagi keperluan rakyat di negara ini akan dinilai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 5P ini akan digunakan bagi menentukan kewajaran penggunaan sesebuah vaksin.

Menurutnya, pertamanya, mestilah vaksin berkenaan didaftarkan, keduanya adalah pembekalan yang merangkumi rantaian daripada pelbagai aspek termasuk logistik, kaedah penyimpanan sehinggalah ia sampai kepada pengguna.

"Ketiga, KKM akan melihat aspek pemberian dengan keutamaan kepada golongan berisiko tinggi, contohnya petugas barisan hadapan, warga emas dan sebagainya yang akan menerima dahulu peruntukan vaksin berkenaan.

"Aspek pemantauan akan turut dilihat bagi mengenal pasti sama ada terdapat kesan sampingan bagi individu yang menggunakannya nanti," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP

Dr Noor Hisham berkata, terakhir, perlu kepada penilaian keseluruhan vaksinasi antaranya melihat sama ada ia memenuhi objektif untuk mencapai imuniti kelompok.

"Inilah konsep yang kita pakai, supaya negara tidak ketinggalan. Misalnya, jika ada vaksin yang didaftarkan di bawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), berkemungkinan permintaannya juga akan meningkat.

"Kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mulakan langkah proaktif bagi mendapatkan vaksin dan apa yang lebih penting, vaksin ini mestilah selamat digunakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 8:17 PM