Seorang penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Syamsul Azrai Yusoff, 41 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tiga pertuduhan menerima wang dan memalsukan dokumen. FOTO Asrol Awang
Seorang penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Syamsul Azrai Yusoff, 41 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tiga pertuduhan menerima wang dan memalsukan dokumen. FOTO Asrol Awang
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Seorang penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menerima suapan RM2,000 dan menggunakan dokumen palsu.

Tertuduh, Syamsul Azrai Yusoff, 41, dari Indera Mahkota, di sini membuat pengakuan itu atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Syamsul Azrai didakwa menerima RM1,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang ada hubungan dengan tugas rasminya di sebuah bank di Jalan Bukit Ubi, di sini pada 20 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM1,000 daripada lelaki berkenaan di bank yang sama pada 29 Jun lalu.

Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada Jun lalu di sebuah rumah Jalan Wong Ah Jang di sini didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu iaitu surat Kelulusan Pelan Kerja-Kerja Tambahan Kecil dan surat Kelulusan Pembinaan Bangunan MPK.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam, Najmi Dawani Abdul Hamid.

Siti Aminah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi tiga pertuduhan dan menetapkan tarikh 18 Januari depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 2:03 PM