Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jumlah kes di kilang Top Glove di Klang adalah penyumbang terbesar kes positif Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan itu kerajaan mengarahkan syarikat berkenaan melakukan saringan ke atas 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sehingga hari ini sebanyak 27 daripada 28 kilang Top Glove sudah ditutup dan baki satu lagi kilang akan ditutup dalam masa terdekat.

"Pada sidang khas hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor membentangkan situasi semasa serta langkah yang sudah dan sedang diambil bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan ini.

"Satu pasukan bertindak diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja membabitkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove ini," katanya pada sidang media harian, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan khas itu dianggotai oleh MKN Selangor, Jabatan Kesihatan Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

NOTIS pemberitahuan penutupan sementara operasi Kilang Top Glove F35 berikutan peningkatan kes Covid-19. FOTO Muhd Asyraf Sawal
NOTIS pemberitahuan penutupan sementara operasi Kilang Top Glove F35 berikutan peningkatan kes Covid-19. FOTO Muhd Asyraf Sawal

"Secara keseluruhan, kilang ini mempunyai 11,215 pekerja, sehingga semalam sebanyak 5,795 ujian saringan sudah dilakukan dan 2,684 kes positif di kawasan PKPD direkodkan.

"Semua pekerja yang disaring dan didapati positif Covid-19 dihantar ke hospital untuk rawatan manakala yang negatif dikuarantin di hotel yang ditetapkan seperti Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan Stadium di Pandamaran," katanya.

Menurutnya, semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 adalah kes positif Covid-19 daripada kluster membabitkan kilang Top Glove.

"Kerajaan khususnya KKM dan pasukan khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau dan membuat penilaian dari semasa ke semasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:00 PM