Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tujuh sindiket tempatan yang membekalkan daun ketum dan ubat batuk kepada kumpulan penyeludup negara jiran di kawasan sempadan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai sudah lama aktif menjalankan kegiatan terbabit.

"Kami percaya ada antara tujuh kumpulan berkenaan yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan daun ketum serta ubat batuk hingga mencetuskan insiden berbalas tembakan di sebuah kebun di Padang Besar, Perlis, hari ini.

"Siasatan awal juga mendapati sindiket tempatan berkenaan tidak bersenjata tetapi berperanan sebagai pembekal daun ketum dan ubat batuk yang ditinggalkan di lokasi terbabit sebelum ia diambil oleh penyeludup dari Thailand yang menyelinap masuk ke kawasan sempadan negara ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, penyeludup dari Thailand dan sindiket tempatan berkenaan dipercayai ada berkomunikasi bagi menentukan lokasi bagi 'meletakkan' barang berkenaan di kawasan sempadan terbabit untuk dibawa masuk ke negara jiran itu melalui lorong tikus.

 Pagar keselamatan sempadan Malaysia- Thailand. FOTO Amran Hamid.
Pagar keselamatan sempadan Malaysia- Thailand. FOTO Amran Hamid.

"Kami juga ada melakukan rampasan di kawasan sempadan membabitkan barang dipercayai untuk diseludup oleh sindiket berkenaan.

"Baru-baru ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis dan Kedah melancarkan operasi yang berjaya menahan 13 individu tempatan daripada enam hingga tujuh kumpulan penyeludup.

"Kami percaya tiga daripada mereka adalah terdiri dengan kumpulan yang dipercayai menyediakan daun ketum serta ubat batuk kepada penyeludup dalam insiden tembakan pagi tadi," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kegiatan penyeludupan antara penyeludup dari Thailand dengan sindiket tempatan adalah melalui sistem pertukaran atau 'barter trade'.

"Sindiket tempatan akan membekalkan daun ketum dengan ubat batuk, manakala kumpulan penyeludup dari Thailand pula membekalkan dadah seperti syabu, yaba, ganja serta dadah lain kepada mereka.

"Semua urusan dilakukan secara barter trade tanpa membabitkan wang tunai. Penyeludupan daun ketum di Thailand dipercayai berpunca daripada permintaan tinggi di negara berkenaan.

"Di Malaysia, daun ketum dijual pada harga RM30 sekilogram. Disebabkan banyak kos yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan berkenaan menyebabkan harganya meningkat di negara terbabit," katanya.

Katanya, PDRM menggiatkan usaha bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negara ini yang dilihat memberi ancaman besar kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:38 PM